Jumat, 28 Februari 2014

2 433 Pati digempur


PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menahan 2,433 pendatang asing tanpa izin (PATI) atas pelbagai kesalahan dalam Ops 6P Bersepadu di seluruh negara semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam tempoh 24 jam itu, 8,105 orang diperiksa dalam 40 operasi di seluruh negara membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 
Beliau berkata, pekerja asing tanpa izin warganegara Indonesia adalah yang ramai ditahan iaitu 717 diikuti Myanmar (555), Bangladesh (387) dan Nepal (229). 

"Warganegara lain seperti Kemboja, Vietnam, India, Pakistan, Filipina, China, Nigeria dan Thailand turut ditahan dalam operasi itu," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, di sini, hari ini.


"Operasi ini bukan operasi bermusim dan ia tidak tamat pada 31 Disember

tahun ini. Ini adalah operasi berterusan dan kita tidak akan berkompromi. 

Matlamat kita adalah pencapaian sifar PATI. 

"Ini menunjukkan keseriusan KDN dan Jabatan Imigresen (mengusir PATI) yang diterjemahkan dalam pelaksanaan. Kami tidak mahu hangat-hangat tahi ayam dalam melakukan operasi ini," katanya. 

Ops Bersepadu 6P semalam membabitkan 2,115 anggota iaitu Jabatan Imigresen sebanyak 976, RELA (479), Polis Diraja Malaysia (370), Jabatan Pertahanan Awam (94), Jabatan Pendaftaran Negara (72), Unit Pencegah Penyeludupan (43), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (33) dan SPRM (48). 

Ahmad Zahid berkata, KDN akan terus bekerjasama dengan kedutaan dan pejabat pesuruhjaya tinggi negara-negara yang mempunyai sumber pekerja asing untuk memudahkan pengeluaran permit. 

"Kita akan mengambil tindakan mengikut perundangan antarabangsa termasuk yang dituntut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi mengelak permerdagangan manusia," katanya. 

Ops 6P Bersepadu bersama agensi-agensi yang berkaitan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar